Wednesday, March 13, 2013

paling penting..jangan tinggal solat!!

aku copy and paste dari Utusan..berita bertarikh 8 Mac 2013


BAGI sebahagian daripada kita, sampah adalah barangan buangan yang kotor dan menjijikkan, tetapi bagi sesetengah orang, rezeki mereka datang daripada longgokan sampah.
Begitu tafsiran Akirman Ali, 64, yang mengibaratkan di mana sahaja ada sampah, di situ pasti ada rezekinya.
Masakan tidak, sejak 13 tahun lalu, Akirman telah menjadikan kerjanya mengutip tin, kertas dan barangan lusuh sebagai satu 'kerjaya profesional' untuk menyara hidupnya bersama isteri, Yeni Muhammad, 58, dan 10 orang anak-anaknya yang kini sudah dewasa.
Dia yang menyewa di sebuah rumah pangsa di Gombak, Selangor, sejak 16 tahun lalu, dengan kadar RM600 sebulan, tidak pernah terlepas untuk mencari longgokan sampah di sekitar Gombak untuk mendapatkan sesuatu yang boleh dijual.
''Sebenarnya ada barang yang bernilai dalam setiap longgokan sampah. Hasil usaha saya mencari barang-barang terbuang seperti tin, besi dan sebagainya, saya boleh mendapatkan tidak kurang RM70 sehari dan mencecah sehingga RM250 sekiranya ada rezeki lebih. Dalam sebulan saya boleh mendapat lebih RM2,000.
''Kerja saya pun senang, tiada majikan dan hanya bergerak sendiri. Kalau malas, saya akan cepat balik kalau rajin saya akan berusaha sebaik mungkin," kata anak kelahiran Minangkabau, Indonesia itu.
Berhijrah ke negara ini sejak tahun 1988, Akirman berkata, pada awal kedatangannya, dia tidak terlibat dengan kerja-kerja mencari sampah.
Ketika itu dia melakukan pelbagai kerja, seperti buruh kontrak, menjahit baju, bekerja di kilang kayu serta kilang perabot dan setelah kilang perabot ditutup dia dan isteri berusaha pula berniaga pisang goreng.
Namun, mungkin rezekinya tidak di situ apabila jualan pisang goreng yang diusahakannya terjejas akibat dianiaya seseorang.
''Semasa itu buntu juga apa yang saya hendak lakukan untuk mencari duit, kebetulan ada kedai barangan lusuh dibuka di sini, saya pun mula mencari barangan lusuh dan kemudian menjualnya.
''Dari situ saya tidak berfikir panjang. Saya memulakan langkah untuk mencari longgokan sampah di sekitar kawasan ini, kemudian kawasan pencarian saya semakin besar," katanya.
Setiap hari, Akirman akan tidur selepas mengerjakan solat Maghrib, kerana dia akan bangun pada pukul 1 pagi, bersolat Isyak sebelum keluar mencari sampah sehingga ke pukul 5 pagi.
Dia akan balik ke rumah sebelum waktu subuh dan selepas bersolat subuh dia bersarapan sebelum keluar mencari sampah semula.
Temannya ketika mencari sampah, hanya sebuah basikal roda tiga yang mempunyai tempat untuk meletakkan barang.
Setelah mendapat barang-barang yang agak bernilai, Akirman akan membawa balik ke rumahnya untuk diasing ke dalam plastik dan kemudian dijual ke kedai barangan lusuh.
Apabila ditanya tidakkah dia berasa takut apabila keluar pada waktu dinihari ketika orang lain sedang nyenyak tidur, Akirman memberitahu, setakat ini, tiada apa-apa perkara buruk yang terjadi kepadanya, malah, dia pernah terjumpa individu yang menghulurkannya wang atas dasar simpati terhadap dirinya.
''Saya buat kerja ini kerana saya tidak mahu meminta belas ihsan daripada masyarakat. Selagi tulang empat kerat saya terdaya, saya akan bekerja mencari rezeki yang halal," katanya yang mengatakan setakat ini anak-anaknya tidak pernah menghalang dirinya daripada meneruskan kerja mencari sampah.
Sepanjang pengalaman mencari sampah, Akirman bercerita, dia pernah terjumpa duit Singapura dan Dolar dalam keadaan bergulung dalam sampah yang diikat dan juga emas seberat tujuh gram.
Menurut Akirman, suatu waktu dahulu, dia boleh mendapat pendapatan yang lumayan hasil jualan barangan lusuhnya, namun kini semakin bekurangan kerana banyak persaingan.
''Kini ramai sangat orang yang mencari sampah, termasuk orang dari negara Bangladesh, Nepal, Myanmar dan sebagainya.
''Tetapi biarpun ada persaingan, saya perlu berusaha sedikit lebih untuk mendapatkan kawasan longgokan sampah yang baharu," katanya.
Ketika ditanya tidakkah timbul perasaan jijik di hatinya apabila menyelongkar sampah-sampah itu, Akirman memberitahu, sekiranya ada perasaan jijik, jangan bekerja jadi pengutip sampah.
''Sama juga macam kalau mahu jadi doktor, jangan takut dengan darah. Begitu juga dengan saya. Ini pekerjaan saya biar pun berhadapan dengan ulat sampah dan bau yang busuk," katanya.
Setelah lebih sedekad bekerja mengutip sampah, Akirman akhirnya bakal 'bersara' dalam tempoh beberapa bulan lagi.
''Duit simpanan saya sudah cukup. Saya sudah pun membeli sebidang tanah dan mempunyai empat buah rumah sewa di Batam, Indonesia.
''Selepas ini mungkin saya berehat terus di Batam dan mengusahakan tanah saya dan Insya-Allah saya akan mengerjakan Haji ke Tanah Suci Mekah pada tahun 2017.
''Sebenarnya di mana-mana sahaja di bumi Allah ini ada sumber rezeki yang halal. Hanya perlu kita rajin berusaha dan yang paling penting jangan tinggal solat," katanya sambil tersenyum.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20130308/ke_05/Sampah-punca-rezeki-Akirman#ixzz2NPAMDL9S
© Utusan Melayu (M) Bhd 


***********************************************************************************************************************************************
Yang penting adalah REDHA dan KEBERKATAN dari ALLAH SWT yang menyuluh perjalanan hidup kita....

semoga kita semua sentiasa mendapat cahaya kebenaran dari Allah SWT...

ya  Allah..murahkanlah rezeki aku dan keluargaku...
                                                                                 aminn...

4 comments:

  1. malu dengan diakan... dulu akak der baca gak pengutip sampah gak dah berjaya juga.. sekarangni dia masih duk rumah kecik dan sedekah makanan kepada orang yang tak bernasib baik.. mulia hatinya...
    penah gak tengok rancangan oprah.. antara orang terkaya di US asalnya adalah pengutip sampah.. sampai dia ada lori utnuk angkut sampah dan sekarang dah jadi billionair...

    ReplyDelete
    Replies
    1. tu la kak, mmg malu dan kagumm sangat.. walaupun hanya sebagai pengutip sampah...berkat kesabaran, kerajinan dan taat pada Pencipta...

      Delete
    2. Betoi la linda, kan kat blok tu ada tempat sampah.. depa dok asing2 kutip sampah yg boleh juai.. kesian.. tp lg mulia keja depa, kalau takda depa sapa nk buat kan.. huhu..

      Jangan Tinggal Solat.. cering bulu roma mona yang kadang-kadang lalai T_____T

      Delete
    3. Mona, kita ni yang senang2 di negara sendiri, diorang orang luar kuat berusaha, balik kampung diorang, mesti diorang antara yang kaya2 kan.. tu la usaha tangga kejayaan..

      sama la kami pun..kadang2 lalai..dok kejar hal duniawi 24 jam..huwaaa..

      Delete

.